Kos Perubatan Meningkat. Benarkah Golongan Berpendapatan Tidak Mampu?
Kita selalu diwar-warkan dengan kos perubatan yang
meningkat mahal. Banyak orang yang merungut tetapi di samping aduan
apakah tindakan lain yang boleh kita ambil untuk menghadapi kos
perubatan yang semakin meningkat ini?
Islam mewajibkan setiap
manusia memberikan hak yang sewajarnya kepada tubuh badannya. Di
antaranya ialah mencari rawatan ketika sakit. Nabi Muhammad SAW dalam
beberapa hadisnya mengingatkan supaya orang yang sakit mendapatkan
rawatan untuk menyembuhkan penyakitnya.
Di antaranya "Tiada
penyakit yang Allah telah ciptakan, kecuali yang Dia telah menciptakan
rawatannya”, (Sahih Bukhari). "Gunalah rawatan perubatan, kerana Allah
tidak menyebabkan suatu penyakit tanpa melantikkan suatu ubat untuknya,
dengan pengecualian satu penyakit, iaitu keuzuran”, (Abu Daud).
Nabi SAW sendiri berubat untuk dirinya dan menyuruh keluarga dan sahabatnya yang dihinggapi penyakit supaya berubat.
Dengan
itu mendapatkan rawatan adalah dituntut oleh Islam sebagai satu langkah
untuk memelihara dan menjaga nikmat kesihatan dan keselamatan tubuh
badan.
Apapun dalam konteks sekarang isu kos rawatan mahal
merupakan satu perkara yang menjadi polemik masyarakat. Ini khasnya
untuk mendapatkan khidmat pakar perubatan untuk merawat penyakit
terutamanya sakit kronik. Bagi saya selagi ada jalan selagi itu ada
cara untuk mendapatkan rawatan terbaik demi memenuhi tuntutan Syariah
untuk merawat sakit.
Manusia apabila sakit sudah tentu mereka
akan mencari rawatan secepat mungkin untuk mengelakkan kesakitan
berpanjangan. Itu adalah naluri manusia. Jadi kos tidak lagi menjadi
perkiraan ketika ini. Maka timbullah pelbagai isu sampingan seperti
penggunaan kad kredit sehingga menimbulkan hutang yang tidak terbayar.
Apapun,
kos rawatan meningkat bukan fenomena di hospital swasta semata-mata
tetapi meliputi juga hospital kerajaan. Tetapi kebiasaanya rawatan di
hospital kerajaan yang mendapat subsidi daripada pemerintah sudah tentu
lebih murah. Apa yang pasti rawatan penyakit samada di hospital
kerajaan atau swasta semuanya memerlukan duit disebabkan kos rawatan
yang meningkat dari masa ke semasa.
Bagi saya sebenarnya
pengguna boleh sahaja mendapatkan rawatan di hospital swasta walaupun
kosnya mahal. Ini dapat dilakukan melalui penyertaan mereka dalam
insurans Islam atau takaful kesihatan. Ini merupakan salah satu aspek
pengurusan risiko terbaik kepada masyarakat dalam menghadapi dilema kos
rawatan mahal. Apabila mereka terkena penyakit yang memerlukan rawatan
tinggi, maka duit sumbangan takaful yang terkumpul dalam tabung
pengurusan takaful akan digunakan untuk membiayai kos rawatan tersebut.
Sebagai
contoh, bagi seorang yang berpendapatan seperti seorang kerani,
sekurang-kurangnya sebahagian atau sedikit pendapatannya dapat
disumbangkan ke dalam skim takaful kesihatan seperti seratus sebulan.
Ini lebih baik daripada ia berbelanja dalam perkara yang tidak begitu penting seperti membeli rokok dan sebagainya.
Takaful
perubatan dan kesihatan memberi perlindungan terhadap kos rawatan
perubatan persendirian seperti kos hospital dan penjagaan kesihatan.
Perlindungan tersebut boleh diambil secara berasingan atau sebagai
kontrak tambahan kepada pelan takaful keluarga asas.
Mengikut
maklumat daripada Bank Negara Malaysia (BNM), perlindungan yang
disediakan oleh takaful perubatan dan kesihatan termasuk perbelanjaan
perkhidmatan hospital dan yuran profesional akibat kecederaan atau
penyakit yang dialami, seperti caj wad, caj pembedahan dan caj unit
rawatan rapi. Manfaat-manfaat ini boleh dihadkan kepada amaun maksimum
atau bilangan hari.
Pengendali takaful boleh menawarkan
pelan-pelan takaful tersebut secara individu atau gabungan. Sebagai
pengguna, kita perlu berhati-hati apabila memilih pelan yang memenuhi
keperluan kita dengan memahami ciri-ciri, syarat-syarat dan manfaat
sijil takaful.
Perlu kita ketahui bahawa dalam menyertai takaful,
pembayaran manfaat bergantung kepada jenis pelan yang kita sertai. Kita
perlu merujuk kepada sijil takaful mengenai maklumat terperinci manfaat
yang diberi seperti perkara yang dilindungi dan tidak dilindungi serta
bila dan bagaimana manfaat akan dibayar.
Dalam memenuhi tuntutan
Syariah untuk mencari rawatan ketika sakit, dan dalam menghadapi kos
rawatan yang semakin meningkat mahal; selain kita boleh menabung, kita
juga boleh menyertai skim takaful untuk menghadapai sebarang musibah
sakit.
Menyertai takaful turut merupakan medium untuk kita
melakukan sedekah melalui tabaruaat ke dalam tabung peserta. Di samping
mendapat perlindungan kita juga beramal.
Dengan adanya
perlindungan takaful perubatan, sekurang-kurangnya sebahagian besar bil
rawatan dapat dibayar daripada tabung derma peserta. Ini sudah tentu
melayakkan peserta mendapatkan rawatan di hospital swasta walapun
bergaji agak kecil.
Perancangan kewangan yang baik seperti
menyertai takaful dapat menghindarkan kita daripada mengeluh bil
hospital yang tinggi walaupun bagi seorang kerani sebagai contoh.
Menyertai
takaful merupakan salah satu usaha seorang Muslim memelihara tuntutan
Syariah agar mencari rawatan yang terbaik ketika sakit dan akhirnya
tidak menghalang mereka mendapatkan rawatan yang cepat dan baik walaupun
agak mahal khasnya di hospital swasta.
SUMBER: http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/artikel/8419-kos-perubatan-meningkat-benarkah-golongan-berpendapatan-tidak-mampu